Pages

Rabu, 30 Desember 2009

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2010


Selamat Menyambut Tahun Baru 2010
Assalam mualaikum...
Kepada semua sahabat dan kenalan, saya ucapkan selamat menyambut Tahun Baru 2010. Semuga anda semua berada dalam lindungan Allah SWT, sentiasa sihat dan ceria selalu hendaknya.
Selamat Tinggal Tahun 2009..

Minggu, 27 Desember 2009

Ingatan Bagi Pelupa


Bangga, Sombong Ciri Rakus Tercela
( Petikan dari BH )

Abul-Laits berkata:”Rakus itu ada dua macam, rakus yang tercela dan tidak tercela tetapi lebih baik ditinggalkan”.

Rakus tercela ialah yang sampai melupakan kewajipan terhadap Allah atau mengumpulkan kekayaan untuk berbangga dan kesombongan. Adapun yang tidak tercela iaitu tidak sampai meninggalkan kewajipan dan tidak bermaksud untuk kesombongan. Sebab antara sahabat juga ada yang kaya raya dan tidak tercela atau dilarang oleh Rasulullah SAW.

Cerita selanjutnya, seorang rakan bertanya, “ mengapa ada yang memilih ciri diatas bersamamu? Cirinya ini jelas dipandang apabila aku mengenalinya secara dekat” jelasnya.

Lantas dia menjawab.” Kami pilih mereka masa itu adalah atas kebolehannya, diharap sifat yang tercela itu dapat dibaikki dengan mutiara doanya dan doa kami semua hendaknya” Manusia boleh berubah tingkal laku dengan kesedaran dari dalam dirinya sendiri atau doa dari rakan dan taulannya. Harap-harap sifat bangga, sombong dan rakus dapat diubah dalam dirinya”.

Tidak menjadi kesalahan mencari kekayaan didunia ini asalkan mengamalkan sifat-sifat terpuji dengan Allah yang menjadikan kita dan dengan manusia yang berada dikeliling kita.

Petikan Al-Quran Surah Al-Sajadah ayat 15 “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merendahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur”

Selasa, 22 Desember 2009

Perkhabaran Tentang Kematian

Perkhabaran Tentang Kematian

Ada orang yang menganggap kematian itu suatu perkhabaran yang buruk, dan ada juga menganggap bukan yang buruk. Orang yang menganggapan suatu perkhabaran buruk ini ialah orang yang menganggap dirinya tiada harapan lagi, segala yang diusaha, tidak ada lagi jalan harapan, kubur dianggapnya satu jurang kegelapan.

Orang-orang soleh dan beriman pula menganggap kematian suatu negeri yang indah yang dipenuhi taman-taman. Di taman inilah mereka mendendangkan lagu-lagu pujian yang disukai oleh Allah.

Kematian lahir bersamamu, dan akan menemu ajalnya pada suatu waktu yang ditentukan oleh Allah. Dia akan memisahkan rohanimu dari jasmanimu, tetapi ingat tidak membebaskan dosa pahalamu dari dirimu.

Dalam bulan ini saja, tiga sahabat kami telah kembali dijemput oleh Allah. Mereka adalah En. Gu Khalid, sahabat sebelah ipar meninggal di Mekah seminggu sebelum tarikh Ukub. Memang besar ganjarannya meninggal di sana. Disolatkan pada waktu subuh di Masjidil Haram yang dimuatkan hampir 1.2juta bersolat pada masa itu. Seorang lagi rakan dan sahabat juga Tuan Syed Mahadar, meninggal pada hari sabtu 12 Disember, 2009 yang berumur lebih kurang 65 tahun dan akhir semalam 22 Disember, 2009 seorang qariah di Masjid Wadi Hassan, YM Tuan Syed Hussein kembali ke Ramatullah pada jam 1.45 tengahari. Kesemua ini adalah rakan dan kenalan rapat saya. Semuga Allah mencucuri ke atas rohnya dan dihimpunkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatiha.


Sebenarnya dalam kematian kau alami hidup jua
engkau kembara ke dalam suatu kota dan negara
kau melihat pelbagai kekayaan dan harta

Kematian adalah cermin setia
yang membalik perbuatan kita

Hidup dan mati adalah ujian
mengingati mati adalah satu kewajipan
agar kita mengenali diri kita
yang Tuhan pinjamkan
kemudian dikembalikan kepada Nya jua
amin

Minggu, 20 Desember 2009

SOLAT

Solat Dan Kelebihan
(renungan buat diri sendiri)

Sebenarnya, solat adalah bertujuan untuk membersihkan, menguatkan, melapang, menyegarkan, dan memberi ketenangan kepada hati. Pada waktu solat, terdapat hubungan langsung antara hati dan roh, di satu pihak, dan Allah di pihak yang lain, kedekatan langsung kepada Nya, nikmat dalam berzikir kepada-Nya, rasa bangga untuk memunajat-kepada-Nya, memaksimalkan penggunaan anggota badan, kekuatan dan sebagainya untuk beribadat kepada-Nya.

Solat menjadikan ubat yang paling berkesan dan makanan yang hanya boleh dimakan oleh hati yang suci sahaja. Sebaliknya, hati yang sakit, tidak ubah seperti badan, hanya boleh menerima hal-hal kebendaan yang boleh disantap sahaja.

Solat adalah jalan terbesar untuk memperolehi kemaslahatan dunia dan akhirat, mencegah dari perbuatan dosa, menghalang tumbuhnya penyakit hati, menghalau penyakit dan sekaligus mencegah kerosakan dunia dan akhirat.

Solat banyak mendatangkan rezki, mencegah kezaliman, menolong orang-orang yang dizalimi, mengawal dorongan syahwat, mampu menjaga nikmat, menghalau bencana, dan mendapat rezki. Solat mendatangkan rahmat dan mengalihkan mendung kesusahan.

Selasa, 15 Desember 2009

Kaitan Makan Dan Perut

Kaitan Makan Dan Perut
( Sekadar untuk ingatkan diri sendiri)

Perut merupakan wadah ( tempat pengisian) bagi makanan. Makanan boleh mendatangkan pelbagai penyakit atau menjadi ubat kepada badan. Oleh itu, manusia dinasihatkan supaya makan makanan yang seimbang dan makan tidak perlu kenyang (banyak).
Lukman al-Hakim menasihati anaknya:”Apabila perutmu penuh, maka tidurlah fikiranmu, maka lemah longlailah anggotamu, sehingga bungkamlah kebijaksanaanmu dan malaslah engkau membuat ibadat.”
Dari Al-Quran, surah al-A’raaf: 31 firman Allah yang bermaksud:”Makan dan minumlah kamu, (tetapi) janganlah berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukaai orang yang suka berlebih-lebihan.”
Surah Muhammad:12,firman Allah yang bermaksud.”Dan mereka makan seperti haiwan makan. Dan api nerakalah tempat mereka.”
Rujuk hadis Nabi , sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: (a)”Kita (kaum Muslimin) adalah satu kaum yang apabila merasa lapar barulah makan, dan apabila makan tidak hingga kenyang”
(b) “Perut itu adalah sumber penyakit, dan berpantang itu adalah sumber ubat”

Senin, 14 Desember 2009

Ma'al Hijrah 1431

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1431
Kepada
Semua Pengunjung blog, sahabat dan kenalan semuanya, semuga
ceria dan bahagia selalu hendaknya.

Minggu, 13 Desember 2009

Keterangan Ayat-Ayat Allah

Surah Al-Humazah
( Petikan dari Tafsir Pimpinan AR.Rahman)

Kandungannya: Memberi penjelasan tentang keburukan orang-orang yang mencemuh dan memandang rendah kepada orang lain, kerana ia senang lenang dan kaya raya, padahal kesenangan dan kekayaannya tidak dapat memberikan sebarang faedah kepadanya pada hari akhirat disebabkan ia bakhil kedekut dan tidak mengguankannya pada jalan kebajikan.

Sebagai seorang yang telah dilapangkan hidupnya sepatutnya ia bersyukur kepada Allah Ta’ala, dan menghormati serta berhubung mesra sesame manusia.

Orang yang sombong dan bermegah-megah dengan kesenangan dan kemewahannya, yang mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain, yang tidak mempunyai perasaan rahim untuk menolong orang-orang yang memerlukan bantuan, tidak akan dikenal atau disebut dengan sebutan yang baik di dunia apa lagi untuk menyelamatkan dirinya di akhirat.

“Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak!”

Kerana yang mengekalkandan mengharumkan nama seseorang di dunia dan di akhirat ialah ilmu yang berguna dan amal kebajikan.

Selasa, 08 Desember 2009

Aku Ziarah Lagi...

Aku Ziarah Lagi…

i.
Aku ziarah lagi ya, Allah!
sedang azan membaris kejayaan
kian mersik dibawa fajar
akan menghitung bintang-bintang Madinah
cahaya membilang zikir
akan kusujud di Raudhah
berbisik pada sejadah
bersama sab para nabi

aku ziarah lagi..
melepas rindu purnama Nabawi
kan kuucap salam pada nabi
membisik sapa
pada makam dan sedu-sedu ini
mencari ruang kesyukuran Ilahi

ii.
Aku ziarah lagi
bertalbiyah keliling kiswah
tujuh kali memgukuh taat
mengharap kucup batu hitam
menjinak di hujung safa dan marwah
kan kutahlul tanda kesempurnaan.

Aku ziarah lagi
tempat-tempat sejarah perjuangan nabi
batu Uhud mendedah janji
pada tanah haram ini
berdebu cuci Arafah dan Mina
mengangkat empat takbir
agar kuulang-ulang lagi
menziarah sebelum aku dijemput nanti.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.

Rabu, 02 Desember 2009

Apabila Binatang Menjadi Hakim




Apabila Binatang Menjadi Hakim
( Petikan dari An-Nur)

Seekor singa dan seekor naga berjumpa, mereka membincangkan bagaimana hendak mengamankan hutan untuk Keadilan, supaya penduduknya tidak dalam ketakutan.

Singa mengusulkan dan dipersetujui oleh naga agar setiap binatang diberikan permit perjalanan, sesiapa tiada permit perjalanan akan ditangkap dan diserahkan ke Pengadilan Raya.

Yang memegang Pengadilan Raya ialah Sang Singa dan Sang Naga, keduanya bertindak bagi pihak Penghukum Pengadilan. Ini yang mereka kata dan isytiharkan.

Satu hari seekor binatang tiada permit perjalanan, Pengadilan Raya memutuskan agar dia dipenjara dan tidak di beri makan. Dan hilanglah binatang berkenaan sampai bila-bila, tidak diketahui oleh sesiapa nasibnya. Entah dimakan oleh Sang Naga, entah dimakan oleh Sang Singa sampai bila-bila. Begitulah ceritanya.

Cerita Kiasan Orang Munafik

Cerita Kiasan Orang Munafik
( Petikan dari An-Nur)

Seorang ayah kepada anak-anaknya mengingatkan,”barangsiapa antara kamu membuat kesalahan akan kuhukum dengan setimpal hukuman, aku tidak pilih kasih demi keadilan”
Suatu ketika seorang anaknya telah mencuri wang ibunya, dan dia telah ditangkap oleh anak yang lain pula, lalu dibawa ke hadapan ayahnya.
“Dia bukan mencuri,” kata ayahnya. “Itu ialah wang yang dijanjikan oleh ibunya. Dia anak yang baik – selalu menolong kerjaku di ladang, bukan seperti kamu!”
Suatu ketika, anak yang lain mengambil wang ibunya. Dia telah ditangkap oleh seorang lagi anaknya. Kata ayahnya pula: “ Kamu mesti dihukum kerana mencuri, kamu jahat! Anak tak berguna!”
Anak yang tertangkap tak puas hati, lalu berkata: “ Ayah tak adil!. Mengapa dihukum saya? Ibu berjanji memberi wang itu kepada saya!” ayah cepat-cepat membentak: “ Diam! Kamu dusta!”

Rujuk al-Quran, surah Al-Taubah:68, firman Allah yang bermaksud: “Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya.”

Selasa, 01 Desember 2009

Badut Yang Kukenali

Badut Yang Kukenali

Badut yang kukenali
yang mencari resepi keajiban
memperagakan busana
ketandusan bakat
kadang-kadang tergelincir
daripada landasan kebenaran
memerahkan perilakumu
tidak menggunakan
sepenuhnya kotak otaknya
mencetus polemic kelucuan

Badut yang kukenali
wajah dilakar-lakarkan
jiwamu sedih kalau digambarkan
murung dari cermin kemuliaan
yang di adun dengan kesah-kesah kelucuan
yang melunturkan citra diri kehambaan
yang natijahnya memusnahkan peradaban

Badut-badut sekelian
bangsamu bukan kamu jadikan
mari tukar pakaian
yang mulia dipandang orang
jangan menjadi badut ikutan
yang tersentuh hatiku menatap
apabila dituntun ramai orang

2 Disember, 2009