Pages

Jumat, 26 Februari 2010

SAJAK HARI KELAHIRANKU

Ada Apa Pada Angka
(Dari satu mesej di hari kelahiranku)

Ada apa pada angka
ada apa pada usia
ada bahasa berbicara di mata
ada rentak risau dihujung dada
pentingnya pengisian angka
pengisianku pada usia

Ada apa pada angka
ada kala simpatiku menjelma
ada keharuan melambai dada
mencari senja melayang menyalut malam

Ada apa pada angka
yang kulukiskan sekali seluruh ilusi hidup
mengungkai rahsia
umpama dedebu mengapung di udara

Desir angin melukis pada angka
pasrah pada redai mereka
isikan dengan solat
isikan dengan zikir
isikan dengan kasih sayang
dan silaturahim antara manusia.

……Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Delima, Kluang

Senin, 22 Februari 2010

Sajak


Dari Pagi Hingga Malam Di Taman

Pagi ini aku didatangi gerimis
aku termangu dekat taman
mengintip kumbang-kumbang
memuji warna rama-rama

Aku menunggu matahari mendaki tinggi
memercikkan cahayanya
melukis wajah cinta
pada jendela kaca.

Aku mengukir kesepian
dengan airmata
bagi membilang usia

Aku rasa akan sedu-sedunya
pada bunga-bunga yang sedang mekar

Rambulan itu masih tetap setia
mengunjungi pada hari perjanjian kita
mereka menulis dugaan –dugaan abad
Jum! mari masuk, kita sudah terlambat
dari pagi hingga malam di taman.

Taman Delima 2, Kluang
21 Februari 2010.

Kamis, 18 Februari 2010

Majlis Membudayakan Al-Quran Dan Sambutan Hari Jadi

Di-Rumah Limas Yayasan Warisan Johor.


Jumaat Tanggal 19 Februari 2010, Majlis membudayakan Al-Quran dan penyampaian ucapan Selamat Hari Jadi kakitangan dalam bulan Februari. Termasuk hari jadi kami yang jatuh pada 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabiulawal 1431H. Gambar kenang kenangan kami menerima kad hari jadi dari Pengarah Yayasan Warisan Johor, Tuan Hj. Jamak bin Johan.

Rabu, 17 Februari 2010

Tarian Singa Dan Naga Tahun Baru Cina


Di Sekitar Taman Delima 2, Kluang
Pada hari pertama Tahun Baru Cina, rumah jiran berhadapan rumah kami akan menerima undangan tarian Singa dan Naga dirumahnya. Gambar ini di ambil ketika acara tarian dijalankan dirumahnya. Bakar mercun, ampau dan limau menjadi permainan anak-anaknya semasa tarian dijalankan. Kami abadikan gambar ini sebagai kenangan sebagai seorang jiran tetangga.

Kuliah Blog

Syukur & Sabar
(Kuliah melalui blog- Petikan dari Majalah MIDI)

Pada zaman Khalifah Al-Manshur, salah seorang menterinya, Al-Ashma’I, pergi berburu. Kerana terlalu asyik mengejar haiwan buruan, dia terpisah daripada kelempoknya dan tersesat di tengah padang pasir.

Dia kehausan. Dari kejauhan, dia melihat sebuah khemah yang terasing. Dia memacu kudanya ke sana dan bertemu penghuninya, seorang wanita muda dan jelita. Dia meminta air. Wanita itu berkata, “Ada air sedikit, tetapi aku persiapkan hanya untuk suamiku. Ada sisa minumanku. Kalau mahu, ambillah.”

Tiba-tiba wajah wanita itu tampak berwaspada. Dia memandang kepulan debu dari jauh. Kepulana debu itu menandakan seseorang sedang memacu kuda.

“Suamiku sudah balik” kata wanita itu.

Wanita itu kemudian menyiapkan air minuman dan kain pembersih. Suami wanita itu seorang manusia kasar, lelaki tua yang bengis dan garang. Mulutnya tidak henti-henti mengherdik isterinya.

Tiada sepatah perkataan yang keluar daripada mulut wanita itu. Sebaliknya dia tenang memberishkan kaki suaminya, menyerahkan minuman dan memimpin suaminya dengan mesra masuk ke khemah.

Sebelum pergi, Al-Ashma’i bertanya, “Engkau muda, cantik dan setia. Kombinasi yang jarang-jarang sekali terjadi. Mengapa engkau korbankan dirimu untuk melayani lelaki tua yang berakhlak buruk ini?”

Jawapan wanita itu mengejutkan Al-Ashma’I, “Rasulullah bersabda, agama itu terdiri daripada dua bahagian: syukur dan sabar. Aku bersyukur kerana Allah menganugerahkan aku kemudaan, kecantikan dan perlindungan Allah membimbingku untuk berakhlak baik. Aku telah melaksanakan separuh agamaku. Kerana itu, aku ingin melengkapi agamaku dengan separuhnya lagi, iaitu bersabar.”

Senin, 08 Februari 2010

MENANGIS

Kini Aku dewasa,
melihat malam yang basah ,
dengan air mata,
tidak berhenti ,
setegar aliran sungai duka
gembira.
aku menangis saat mencari jejakMu,
mencari samar
titik cahaya syurga.

Minggu, 07 Februari 2010

Sajak Suatu Kejadian

Suatu Kejadian

Tiba-tiba sahaja ikan melompat
meronta-ronta badannya
sebelum mata kail dilemparkan.

Tiba-tiba si manja menerkam
menerjah
sebelum ikan dijamukan.

Tiba-tiba sahaja idea terkeluar
melukiskan
sebelum sampai difikirkan.

Tiba-tiba sahaja bulan terbenam
sebelum puisi dinukilkan
suatu kejadian.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru

Dewan Sastera
Febuari 2010