Pages

Rabu, 27 Januari 2010

SAJAK

Membakar Murni

Dengan berpaksikan kebenaran
bagaikan langit runtuh menimpa tubuh
menetaskan derita
yang tercela di hamparan alam

Segenggam perasaan
gelojak pertengkaran
murni yang terbakar
hati dijajah dengan teliti.

Maka disajikan dengan minda
mengakar dibalut umbi
menyalurkan aduan kebencian
di medan percaturan dendam.

Sinarnya memercik tajam
bersemadi dalam khazanah pengalaman
redup bertembung kerisauan
mengoyakkan kesabaran

gelora air meraih simpati
menawarkan sebuah senyuman
di lautan tenang
dalam semangkuk ingatan.

…… Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru

Kesetiaan Dan Penghormatan


Mendidik anak / cucu sejak kecil lagi tentang kesetiaan kepada Raja dan Negara menjadi tauladan buat jenerasi masa depan. Selainnya menghormati perasaan orang lain walaupun bukan sebangsa atau seagama. Namun tidak semua orang boleh melakukannya. Inilah satu-satu ajaran dan pesanan dari arwah ayahanda bonda saya semasa hayatnya ….

Yang Kukenali


Ini bukan iklan!.

Pakaian kemas, tubuhnya tegap, kacak dan perkasa wajahnya.
Semasa muda pernah menjadi pelakun tambahan filem arahan P.Ramlee
‘Pendekar Bujang Lapuk’- bergaduh di Jeti, tewas dicampakkan ke laut.

Sebenarnya ia adalah seorang pegawai keselamatan di syarikat kami, orangnya peramah, sentiasa senyum, mesra dan menegur sesiapa saja yang dikenali atau tidak di kenali. Bergambar untuk kenangan memakai sungkuk berkabung sempena kemangkatan sultan Johor. Hampir empat tahun berkhidmat di syarikat kami. Sesiapa ingin mengenali sila hubungi saya di alamat emil: hjmts01@yahoo.com.my.

Selasa, 26 Januari 2010

SAJAK

Melangkah Sembilan Tangga Lagi

...........Kemelut fitrah abadi
bagi memahat kesetiaan
sentiasa melangkau keraguan
untuk melangkah sembilan tangga keinginan

Lebarlah keinginan
lapangkan kotak pemikiran
campakkan keraguan
mari mencari karina iman
untuk mencapai tangga kesembilan.

………..Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.

Senin, 25 Januari 2010

Sajak Cucuku Kedelapan

Titipan Windu Asalan Hati

Titipan windu asalan hati
yang lahir seindah pagi
mentafsir ziarah dunia
ke negeri rohani
ke tanah nurani

Titipan bani putra keenam
penawar asalan dua putri
titipan windu gerimis hati
Pada usia enam puluh menanti

Hati berputik yakin
album menjadi tetamu kalbu
zikir gerimis
tersangkut di ranting harapan
bersama serangkai anyaman doa.

………….. Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Delima 2, Kluang.

AL-FATIHAH

Makam Almarhum Sultan Iskandar Ibn

Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor Ke 4


Makam Ayahanda Sultan Iskandar

DYMM Sultan Ibrahim, Sultan Johor ke 5 sedang menabur bunga ke makam Ayahandanya

AMPUN TUANKU, SEMBAH PATIK HARAP DI AMPUN

Seluruh rakyat Negeri Johor berdukacita atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Johor pada Jumaat 22 Januari 2010. Patik berdoa, semuga roh Almarhum ditempatkan dikalangan hamba yang bertakwa.

AMPUN TUANKU. AL-FATIHAH.

Rabu, 20 Januari 2010

RENUNGAN PENGERTIAN ANGKA EMPAT


Angka 4 dalam hal-hal ini:-
1. Empat hal yang merosak tubuh : Cemas, sedih berpanjangan, lapar dan kurang tidur malam.

2. Empat hal yang memberi kesenangan: Melihat kehijauan, melihat air mengalir, melihat kekasih dan melihat buah-buahan.

3. Empat hal yang mencegah datang rezki : Tidur waktu pagi, jarang solat, malas dan suka berkhianat.

4. Empat hal yang menghilangkan kesegaran dan keriangan wajah: berbohong, tidak tahun malu, terlalu sering bertanya yang tidak perlu dan sering melakukan maksiat.

5. Empat hal yang membuat wajah semakin segar : Menjaga harga diri, menepati janji, pemurah dan takwa.

6. Empat hal yang mendatangkan kemarahan dan kebencian: Takbur, dengki, bohong dan suka mengadu.

7. Empat hal yang boleh mendatangkan rezki : Bangun malam untuk bersolat, banyak beristighfar, membiasakan sifat memberi dan berzikir pagi dan petang.

8. Empat hal yang menambahkan daya ingatan : hati yang bersih, makanan yang tidak subahat, kurang makan dan banyak berzikir.

9. Empat hal yang membahayakan kemampuan ingatan: Ketagihan makanan masam, tidur terlentang, resah dan susah hati.

10. Empat hal yang membuatkan badan kuat: memakai pakaian yang lembut, mandi dengan air suam, makan makanan yang manis dan mencium wangian.
Sujudku Di Anjung Malam
Dengan insaf sujud damai
mencari pintu-pintu doa kemuliaan
di anjung malam sujud tawaduk
makna kerdilnya tubuh

sujudku di anjung malam
melelapkan kemegahan diri
menemukan penyerahan
di singgahsana bumi ini.

Insaflah diri di saujana alam
kolam air mata di sujud malam
merenangkan kesal kehilangan
liku liku tinta kesempurnaan.

Sujudku di anjung malam
pengharapan jernih keputihan
tiupan bayu malam
mencari wadi kemuliaan.

……… Hj. Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.
Januari 2010

Senin, 18 Januari 2010

RENUNG-RENUNGKANLAH

SIAPA MENYEMAI ANGIN AKAN MENUAI BADAI
Manusia masa kini agak aneh dan peliknya perangainya. Menyuruh orang lain menjadi penyantun dan tidak suka marah, tetapi sendiri tidak penyantun dan sering marah. Menyuruh dan menghendaki mereka menjadi pemurah, tetapi sendiri bersikap bakhil. Menyuruh dan menghendaki mereka menepati janji dengan semangat persaudaraan yang baik, tetapi sendiri tidak pernah melakukan yang demikian. Menyuruh orang lain melakukan amar ma’ruf, tetapi sendiri meninggalkannya, dan yang melarang orang lain melakukan kemungkaran sementara sendiri melanggarnya. Inilah yang dikatakan penghuni neraka!. Wayahuzubillah.

Ibnu Rumi berkata:

Di antara keanehan zaman adalah engkau menghendaki orang lain sopan, tetapi engkau sendiri bertindak tidak sopan’

Sabtu, 16 Januari 2010

SAJAK ALAM

Alam Tidak Perawan Lagi

Alam tidak perawan lagi
langit siang menghitam pekat
belum sempat kurasa panas mentari
mengalir kehangatan
mendung melingkungi diparas wajah
menghilang bingkai potret
wajah samar sudah
bila purnama dan dunia menapis wajah.

Kalimat sujud di sejadah sunyi
mimber mencerita biografi mentari
kala itu kerinduan pada cahaya

Tiba saat yang kita dedahkan pengedaran arah
Kekuasaan-Mu mengarah haluan
untuk dipersembahkan pada alam
menjadikan manusia memperoleh pengetahuan

Mari kita lembutkan hati-hati batu
menceritakan alam tidak perawan lagi
pada peta dunia hari ini
kiamat sejati yang dinanti.

…..Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Delima 2, Kluang.

Rabu, 13 Januari 2010

INGATAN UNTUK DIRI SENDIRI

Janji Allah Untuk Mereka Yang Bertawakal

Dalam kita menghadapi cabaran, Allah SWT menyuruh kita untuk berserah kepada-Nya. Namun ini bukan bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa dalam kita ingin mencapai sesuatu itu.

Firmannya bermaksud: “ketika dua golongan daripada kamu ingin mundur kerana takut, padahal Allah adalah Penolong mereka. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (QS 3;122)

Apabila kita hendak capai sesuatu, keinginan dan cita-cita itu hanya akan jadi mimpi dan angan-angan kosong yang tidak bernilai kalau kita tidak sertakan sekali dengan usaha. Rezeki tidak datang bergolek kalau kita tidak ikhtiar untuk cari. Dan pada usaha itulah hasil akan terjadi.

Tetapi usaha semata tidak bernilai di sisi Allah SWT jika kita hanya mengharapkan usaha kita sedangkan kita lupa untuk meletakkan Allah SWT sebagai yang Menentu. Jangan sekali kita meletakkan usaha kita menjadi neraca hasil kerana bukankah itu seolah-olah kita mengiktiraf diri kita sendiri berkuasa dan tidak perlu mengharap pada Ilahi?. Andai inilah yang kita lakukan, secara sendirinya kita menghitamkan hati kita dengan riak dan takbur. Sedangkan hasil suatu itu adalah ketentuan-Nya, nikmatnya untuk memberikan menurut pertimbangan-Nya. Mungkin terjadi, mungkin tidak.

Moga kita bertawakal dengan sebenar tawakal, diiringi dengan keikhlasan semata untuk-Nya.

SAJAK

Sajak Bulan, Angin dan Matahari

Wahai bulan,
sinarmu bertambah terang
bersikap lembutlah
dengan sinarmu,engkau sinari wajahku
wajahmu dalam kegelapan
menyorokkan kehebatan

Wahai angin
bertiuplah dengan kencang
merobohkan hati-hati ini
dan istana impian
menumbang kesejatian di jasad

Matahari
yang di atas kepalaku
memandang geram wajahku

Dunia riang kepadaku
janganlah kamu cemburu
zaman sudah tua, tapi
lihatlah gambar-gambar yang mengintai
dicelah embun berkata
membasah hatiku dengan senyuman...

……Januari 2010

Selasa, 12 Januari 2010

Motivasi Diri


Jangan Berdukacita Jika Diri Anda Dikritik , Dibenci Dan Dicerca
( Petikan dari La Tahzan )

Sesungguhnya kesabaran anda menghadapi kritikan, bencian dan cercaan itu sentiasa diambil kira, dan anda akan beroleh ganjaran yang setimpal. Dan Kritikan mereka itu, pada dasarnya pertanda bahawa anda mempunyai harga dan darjat yang tinggi dan mulia. Kerana manusia tidak akan menendang anjing yang telah mati atau mencaci orang-orang yang tidak berharga pastinya tidak akan terkena sasaran pendengki. Dengan lain perkataan, jikalau kritikan, bencian dan cercaan yang anda terima semakin pedas maka semakin tinggi pula harga diri anda. Kata-kata pujangga ‘ Nescaya terhadap orang-orang mulia itu selalu ada yang mendengki dan tidak akan engkau temui orang-orang yang hina itu di dengki’

Jika seseorang berjaya
mencapai puncak langit kemuliaan
musuhnya adalah bintang-bintang
di langit kedengkian

Ia akan dibaling dengan busar-busar
atas semua kebesarnnya
sekalipun apa yang mereka lakukan
tidak akan sampai ke sasaran

Renungan Pagi Ini


RENUNGILAH ….

La ilaha illallah, ertinya tidak ada yang patut disembah selain Allah, sebab Dia mempunyai sifat-sifat uluhiyyah yang tidak dimiliki oleh selain Allah. Iaitulah sifat-sifat kesempurnaan.

Letak kekuatan dan rahsia kalimat ini ada di dalam hati iaitu perasaan yang menempatkan Allah Yang Maha Terpuji, Yang Maha Kudus, Yang Maha Tinggi Nama-Nya, Yang Maha Mulia, tiada Tuhan selain Dia, sebagai satu-satunya nama dalam cinta dan pengagungan, dalam takut dan harap, dalam tawakal dan taubat, dalam segan dan malu.

Tidak ada seorang pun yang dicintainya selain Dia. Dan kecintaannya kepada selain Allah merupakan akibat dari kecintaannya kepada Allah dan dijadikan sebagi alat untuk semakin banyak mendapat cinta-Nya. Hanya Dia yang ditakuti dan diharapkan, hanya Dia tempat bertawakal, hanya Dia tempat untuk segan, hanya Dia tempat sungkan, hanya dengan nama-Nya sumpah itu boleh diucapkan, hanya Dia tempat bertaubat, hanya perintah-Nya yang ditaati, hanya Dia tempat meminta bantuan dalam segala kesusahan, hanya Dia tempat mengemukakan apa sahaja, hanya kepada-Nya tempat bersujud, dan tidak boleh menyembelih kecuali dengan menyebut nama-Nya.

Renungilah! ALLAH itu adalah untuk orang-orang Islam yang beriman.

Minggu, 10 Januari 2010

Sajak Minggu Ini

Mencari Petunjuk Pada Setiap Penjuru

Menterjemah kesabaran
membaca kompas komplikasi
mencari petunjuk pada setiap penjuru
tempat sujud pengabadian
saat muazim menyeru .........

...... mentari menyembunyikan panasnya
bintang-bintang pun bersama
sujud tanpa ragu
petunjuk telah bersinar di setiap penjuru.

Persiaran Delima 2, Kluang
10 Januari 2010

Membina Landskap

Pokok berpasu di atur dengan hiasan tempayan tempat rehat

Kolam ciptaan sendiri, mencari kepuasan dari jeritan suara air

Warna memainkan peranan dalam keindahan landskap

Setiap hari minggu kami pulang ke rumah kediaman di Taman Delima 2 Kluang. Menjadi rutin, untuk mencari peloh kami mengubahsuai kedudukan pasu-pasu bunga untuk dijadikan satu susunan landskap. Bukan kepakaran seperti ahli landskap yang bermutu, kami sekadar mencari kepuasan mata memandang. Tanpa plan tertentu, kami hanya menyusun atur pasu-pasu bunga mengikut kehendak hati sendiri. Kolam ikan pun hanya menggunakan plastik, kami hiaskan seperti kolam, dengan bunyian pancutan air yang menurun dalam kolam sudah menjadi satu aroma sedap telinga dan ikan-ikan koi yang jinak dan manja.

Setelah penat waktu pagi dan petang, malamnya kami bersantai ditaman, membawa kertas catatan bagi menggores atau melakar lukisan atau sajak. Malam juga di abadikan dalam tangkapan kemera untuk album blog.

Kamis, 07 Januari 2010

Catatan Di Rumah Limas

Hari ini adalah hari Jumaat minggu pertama dalam tahun 2010. Kami menghadiri majlis membudaya Al-Quran sepertimana lazim dijalankan di semua jabatan di negeri Johor. Majlis dimulakan dengan zikir Hasma Al-Husna dan selawat yang dibawa oleh seorang ustazah di jabatan berkenaan, kemudian bacaan Al-Quran dan terjemahannya yang mana diikuti oleh hadirin yang hadir. Hari ini ada pula hajat membaca tahlil arwah atas permintaan dua orang kakitangan yang menyambut hari jadi dan mengadakan jamuan.
Semasa jamuan disajikan banyak cerita-cerita juga disajikan bersama.

" Ustaz, kenapa dalam doa tidak dimasukkan doa supaya mudah berpoligami?" tanya seorang dari mereka di meja makan. Cerita sahaja poligami, maka timbullah cerita kesah seorang yang bergelar 'Bung' yang berpoligami dengan seorang artis yang sedang top nama. Masing-masing mengeluarkan pendapatan pro dan kontranya berpoligami. Yang aneh dan menariknya, sekumpulan wanita yang sama semeja menyukong penoh lelaki dewasa berpoligami kerana memandangkan kelebihan bilangan wanita sekarang lebih ramai dari lelaki. Ustaz mencelah dan menyatakan bahawa doa untuk berpoligami tidak boleh disebutkan dalam doa beramai-ramai, kerana dikuatiri pada minggu depan akan ramailah isteri-isteri kita menunjuk perasaan di perkarangan rumah limas, jenuh hendak mengamankan. Sehubungan itu, ustaz mencadangkan semasa beliau membaca doa, tokok tambahlah doa berkenaan dalam hati masing-masing. Kerana masa majlis semulia ini, malaikat akan mengangkat semua doa yang dipohon kala itu. Dua orang kakitangan yang dari mula tidak menyampuk cerita poligami pun bersuara. " Sebab itulah saya duduk diam saja, kerana perbualan anda semua merupakan doa, jadi saya mengaminkan saja dalam hati" pecah gelak berderai dimeja pada ketika itu.

"Bijak...bijik...bijak awak ini, tak perlu berkata-kata ,mudah-mudahan doa dikabulkan hendaknya" celah seorang dari mereka di meja makan itu.
"Amin.. amin.. sudah ditakdirkan berpoligami , terima lah saja" jawabnya sambil menyuruh ustaz membaca doa penutup.

Majlis selesai dengan ustaz membaca doa penutup.

Sajak-Sajak Terbaru

Bila Hati Ini Berbisik

Semalam kau yang mencuri tidurku
ketika mimpi yang sedang melamar
yang ceritanya telah terpadam
pada hati ini berbisik dendam.........

Rindu Padamu

...... kala rinduku, 'kan kutelan cahaya itu
sinar pagi pada hati pilu
untuk menawarkan cinta
pada waktu yang tak sabar menunggu

Januari 2010

Minggu, 03 Januari 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU

Bersalam-salam dengan kenalan lama
Isteri bersama abang dan adiknya

Mempelai Sedang Bersanding

Selamat Pengantin Baru Buat Anuar Zamir & Nur Azimah

Pada 2 Januari 2010, adalah hari persandingan buat Anuar Zamir dan Nur Azimah, anak sudara kami di Mersing. Majlis di jalankan dengan meriah dan dapat berjumpa kenalan lama semasa kerja di Mersing. Nama-nama yang ditemui adalah Cik gu Md. Diah & Isteri, Hj. Ishak & isteri, Cik gu Razak, Addnan, Tijah & suami, Salleh & isterinya Aminah, Ibrahim, Daud dan banyak lagi yang tidak dapat kami sebut. Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan Selamat menerima menantu buat Hj. Malham dan Siti Aisah. Gambar kenangan untuk tatapan suasana pada hari tersebut.