Pages

Rabu, 13 Januari 2010

INGATAN UNTUK DIRI SENDIRI

Janji Allah Untuk Mereka Yang Bertawakal

Dalam kita menghadapi cabaran, Allah SWT menyuruh kita untuk berserah kepada-Nya. Namun ini bukan bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa dalam kita ingin mencapai sesuatu itu.

Firmannya bermaksud: “ketika dua golongan daripada kamu ingin mundur kerana takut, padahal Allah adalah Penolong mereka. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (QS 3;122)

Apabila kita hendak capai sesuatu, keinginan dan cita-cita itu hanya akan jadi mimpi dan angan-angan kosong yang tidak bernilai kalau kita tidak sertakan sekali dengan usaha. Rezeki tidak datang bergolek kalau kita tidak ikhtiar untuk cari. Dan pada usaha itulah hasil akan terjadi.

Tetapi usaha semata tidak bernilai di sisi Allah SWT jika kita hanya mengharapkan usaha kita sedangkan kita lupa untuk meletakkan Allah SWT sebagai yang Menentu. Jangan sekali kita meletakkan usaha kita menjadi neraca hasil kerana bukankah itu seolah-olah kita mengiktiraf diri kita sendiri berkuasa dan tidak perlu mengharap pada Ilahi?. Andai inilah yang kita lakukan, secara sendirinya kita menghitamkan hati kita dengan riak dan takbur. Sedangkan hasil suatu itu adalah ketentuan-Nya, nikmatnya untuk memberikan menurut pertimbangan-Nya. Mungkin terjadi, mungkin tidak.

Moga kita bertawakal dengan sebenar tawakal, diiringi dengan keikhlasan semata untuk-Nya.

Tidak ada komentar: