Pages

Minggu, 29 November 2009

Menggugah Ghairah Kehidupan

Kita harus terus mendayung
sampan kehidupan
pada sungai yang merahsiakan kenangan
pada muara yang membilang hari perjuangan
pada hulu yang membangkit kemenangan
batu-batu menuras kocak kederasan

Suara riak arus dialiran
menggugah ghairah kehidupan
cuba mengusir kesedihan
disimpan menyela kedukaan

Bisikan lirik lagu berirama
dilimparkan setinggi harapan
yang palsu dan murni kesempurnaan
untuk mengharumi laut kerisauan.

Detik ini menguatkan impian
menggugah ghairah kehidupan
esok akan dibilangkan kehadiran
yang selalu mengumpat ketetapan.

10 Zulhijjan 1430H

Ibadah Qurban




Syukur keHadrat Allah SWT, pihak pengurusan Surau Ittihad Mariam, Johor Bahru telah selamat menunaikan Ibadah Qurban yang diamanahkan. Sebanyak tiga ekor lembu telah selamat disembelihkan pada petang hari Raya Aidil Adha. Daging-daging qurban selamat di agihkan kepada fakir miskin yang disekitar surau termasuk di kawasan setinggan yang dilanda kebakaran seminggu sebelum hari raya.

Kami, ahli jawatankuasa surau mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari itu yang sama-sama membantu menjalankan kerja-kerja melapah, membungkus dan mengagehkan daging qurban. Gambar di atas adalah sebahagian dari kerja-kerja melapah dijalankan secara gotong royong. Semuga Allah juga yang membalasnya.

Rabu, 25 November 2009


Salam Adil Adha

Selamat Menyambut Adil Adha dan selamat menyempurnakan Ibadah Qurban khasnya kepada anak-anak Azleena/ A.Nozi serta cucu-cucu yang berada di Kluang, Johor ,Shahrezan/ Lina serta cucu-cucu yang berada di Seremban, Ili Fadilah/ Faizal serta cucu di Johor Bahru. Juga Shahrul Azwan/ Aisah yang berada di Kuala Lumpur, semuga sentiasa menunaikan perintah Allah dan jauhilah kemungkaran. Kepada semua kekanda dan adinda yang berada di Muar, Serdang, Kluang, Mersing, Johor Bahru dan Bangi, bapa mertua dan ibu muda yang berada di Batu Pahat dengan ucapan Salam Aidil Adha.

Kepada semua rakan dan taulan Selamat Hari Raya Aidil Adha, maaf zahir dan batin. Junpa lagi sekiranya di panjangkan umur.

Kamis, 19 November 2009

Wajah Di Sebalik Sutera

Lihatlah wajah itu
yang samar-samar di sebalik sutera
yang sedang mencari perhitungan
antara palsu dan murni kesempurnaan

Lihat wajah itu
yang digalas dengan angan-angan
merajahkan satu pengharapan
menyidai pada pengertian

lihat wajah itu
yang menjulang kebodohan
di menara persimpangan
sesak perwasitan
antara khilaf dan jariah

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru
Tulislah Sejarah Hidup Anda Sendiri
( Petikan dari Buku La Tahzan)

Ceritanya begini. Saya beritikaf di Masjidil Haram ketika cuaca sangat panas, sejam menjelang sembayang Zuhur, tiba-tiba seorang lelaki yang sudah sangat tua berdiri dan memberi air zam zam sejuk kepada orang-orang yang ada di situ. Tangan kanannya memegang satu gelas, dan tangan kirinya memegang yang satu lagi. Dia memberi minum jemaah dengan air zam zam. Selepas seseorang selesai minum maka dia kembali mengambil air dan kembali memberi minuman kepada yang lain. Sudah sekian lama ramai orang yang dia beri minum. Saya lihat keringatnya mengalir deras sedangkan orang ramai hanya duduk menunggu giliran mendapatkan air minuman dari orang tua itu tadi.

Saya kagum kepada semangat, kesabaran dan kecintaannya kepada kebaikan, serta wajahnya yang selalu menebar senyum ketika memberi minuman. Akhirnya, saya tahu bahawa kebaikan itu sangat mudah dilakukan oleh siapa sahaja yang Allah mudahkan untuk melakukannya. Allah mempunyai simpanan kebaikan yang banyak sekali, yang akan menganugerahkan kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan Allah juga mengalirkan keutamaan, sekalipun sedikit, kepada orang-orang yang baik yang senang berbuat baik kepada sesama manusia dan tidak senang melihat keburukan menimpa sesama manusia.

“ Contoh di atas itu bak bintang-bintang bahkan lebih tinggi, bagi fajar ketika hendak menyinsing”

Carilah kebaikan dengan cara mudah untuk kebaikan sesama manusia.

Rabu, 18 November 2009

Mari Kita Ke Pantai Harapan

Percakapan pagi ini
bukan bermimpi lagi
mereka yang bersenang
di taman kemewahan
berjalan sombong
dibentangan kain sutera
pada amanah
yang tidak pernah ditunaikan

Mereka terdiam
dalam selimut ketenangan
yang mencium
pada wangi-wangi kedamaian
berlari lari bermain hujan dan salji
dalam genggaman
kenikmatan dunia ini

jangan lupa
pagi gembira , petangnya ke kuburan
mencari cari tangis keduniaan
yang sudah kenyang kenikmatnya

hujan menangis dan kilat mengeluh keresahan
membanjiri alam
menyapu bersih pada kekotoran
pasir-pasir hitam dan batu batu pejal
tsunami mengulung kegilaan
pada pantai harapan.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.
Kelebihan Suka Membaca
( Petikan dari Buku La Tahzan)
Tahukah anda, membaca buku membuka pintu fikiran dan memandunya ke arah kepandaian dan kebijaksanaan. Dengan membaca akan memberi bekalan hikmah, membuat lisan tidak kelu, meningkatkan kemampuan berfikir, menghantar hakikat dan menghilangkan yang syubahat. Membaca adalah hiburan bagi yang menyendiri, munajat bagi jiwa, dailog bagi orang yang senang bersembang, nikmat bagi orang yang suka merenung, pelita bagi orang yang berjalan ditengah malam yang gelap. Jika ilmu yang dibaca, diamalkan dan diulang, juga dikuasai maka semakin ilmu itu akan berbuah, ranum, dan tiba masanya boleh dipetik. Bagaimanapun ilmu itu tetap pada dahannya dan akan memberi buahnya tiap-tiap waktu dengan izin Tuhan. Sekalipun para penulis ilmu sudah tiada namun percakapan tentang mereka tetap mendapat kedudukan.

Sebaliknya keenggaan untuk membaca dan menuntut ilmu adalah penjara bagi lisan, kongkong terhadap nilai peribadi, kebekuan untuk hati, kerosakan bagi otak, kematian bagi syakhsiah, kelesuan di tengah perjalanan mencapai ilmu dan kekeringan bagi fikiran. Kenapa?. Kerana buku selalu mengandungi faedah, perbandingan, kebijakanaan, cerita dan hikayat yang sangat baik.

Faedah membaca sangat banyak dan tidak mungkin dikira jumlahnya. Sebab itu, kita berlindung kepada Allah supaya keinginan di dalam hati ini tidak mati, azam di dalam jiwa ini tidak lemah, dan semangat yang ada di dalam dada tidak redup selama lamanya.

Selasa, 17 November 2009



Wasiat Untuk Duriat
( renungan untuk anak-anak)

Wasiat untuk duriat
pengakhiran di hujung kata
mengulum kekukuhan nikmat itu
pengingat di pepenjuru kalbu

wasiat untuk duriat
perencanaan hidup kita
rangkai darah daging
penjamin pada ikatan setia

wasiat menggurai penghayatan hidup
bersimbolis dengan pengharapan
beristighfar kepada kemaafan
kesejajaran pada penghidupan

pabila kernyut muka dilukis saja
kerangka jasad dilukis juga
melajukan nadi memisahkan nyawa
wasiat digenggam untuk dilaksana.

duriat penyempurna penyulur hayat
mengheningkan suasana pada pengukukuhan
olahan wasiat ini dibacakan
pada kompas yang betul haluan
tenteram yang dikembalikan.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Delima, Kluang
November 2009
Ladang-Ladang Perasaan

Ladang-ladang perasaan
dengan pohon keresahan
di permatang keluhan
kehidupan dan kesejahteraan

Ladang-ladang perasaan
daun ranting dilonggokan
dibaja dengan kesamaran
tumbuh liar kepura-puraan

Ladang-ladang perasaan
rumpai dan lalang tumbuh keliaran
dihuni serangga kebuasan
memamah mangsa kehinaan

ladang-ladang perasaan
menghurai rajah-rajah perpisahan
pada batu penghidupan
matang dalam kesengsaraan

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru
November, 2009

Senin, 16 November 2009

Membentang Sejadah Hijrah Di Keresahan Masihi

i.
Membentang sejadah hijrah rapsodi iman
sepasang kekasih serasi bermadu pada nur kehidupan

merawat waktu berputar
matahari hijrah meluntarkan cahaya
pada kebekuan dinding usia.

kulemparkan fitrah hati ini pada kesucian abadi
hijrah insan sejati memahat murni
menghulur pengorbanan hati
mencari hikmah bersulam makrifat

ii.
Membentang sejadah hijrah di keresahan masihi
resah bumi hangus dilangit tinggi
resah ombak laut memukul bumi
yang tinggalkan lumpur resah hati

di keresahan masihi
mencari kehidupan di-keranda terkunci
kecemukan dan kebuasan hati
yang gelojoh mengutama diri

di keresahan masihi
pasti akan jengah pada satu pagi
yang terhias dengan seribu janji
yang mengharapkan satu rapsodi
di atas sejadah hijrah ini.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.

Minggu, 15 November 2009

Ibadah Qurban
Ibadah qurban merupakan satu tuntutan yang perlu dilaksanakan bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya. Ibadah tersebut hendaklah dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan benar atas berketatapan syarak. Amalan yang lebih baik adalah amalan yang paling ikhlas dan jujur. Oleh yang demikian, apabila tibanya Aidil Adha ibadah qurban dilaksanakan, maka hendaklah sedaya upaya perlaksanaannya dilakukan sejajar dengan kehendak hukum syarak.

Binatang yang dipilih untuk ibadah qurban adalah lembu, unta, kambing atau kibas. Masa penyembelihan adalah selepas solat sunat Aidil Adha dan berlanjutan sehingga hari Tasyrik iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Gambar diatas menunjukkan sebuah ladang lembu yang kami kunjungi bagi tujuan qurban. Binatang yang dipilih adalah cukup umurnya, tidak cacat anggota badannya, sihat dan sedap mata memandangnya. Boleh dikatakan setiap tiba Aidi Adha, surau Ittihad Mariam, Johor Bahru akan mengadakan penyembelihan selepas solat sunnat Aidil Adha. Kalaulah jatuh Aidil Adha pada hari Jumaat, besar kemungkinan ibadat ini dijalankan pada waktu petangnya.

Rabu, 11 November 2009

Menjaring Kehidupan

Naiklah ke bukit itu, jika engkau berjiwa tinggi
mari ke danau
jika engkau sudi menjamu kekotoran

Mengalir lembut dari puisi penghidupanmu
tinta hitam menyaring kehidupan
pabila pelangi menjamah tubuhmu
tiada warna dapat dipadamkan

Lirik senyum bak sekumtum mawar
yang disarik dihujung penglihatan
pada piama batas kesejahteraan
pada pintu menaruh harapan

Hari ini langit mengundang air mata
yang disedut dari kali cita-cita
melepuh pada kulit yang setia
menahan daging dan tulang berhiba.

Tolehlah malam yang merindu siang
lumut di batu yang dahaga cintamu
mengusap-usap uban keputihan
mengira pada keluk-keluk usia
yang sentiasa menjaring kehidupan.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.
November 2009

Selasa, 10 November 2009

Suatu Kehilangan

Mencium setangkai bunga : ingin wanginya
hidu pada kehidupan dan harapan
memeluk dahannya berduri
agar kelopaknya tetap berdiri
tangan tak terluka
mencacap rambut dan pipi.

saling menatap dan mencandai
menitip ilmu dan menyusuk pengalaman
agar hati tidak sedu, tapi saling menatap

kini terlepas dari tangkai impinan
taman-taman telah terlarang
berputik kembang, tidak wangi
dahan dipagar dengan bunga diracuni
suatu kehilangan : tak dapat mencium wangi.

10 Nov.2009

Minggu, 08 November 2009


Kartika Di Sejadah Senja
( Buat kelahiran Cucu Ke tujuh )

Ada yang bertanya
seutas sayang memasuki waktu
pada kartika di sejadah senja
zikir membilang usia

Kartika di sejadah senja
keheningan bunga-bunga bitara
di batas hati sedang mengira
pada tangkai beralun mutiara kata

Kartika di sejadah senja
mengiringi purnama kasih
mengirim butir-butir gerimis itu
ketika bumi melabuh senja

Kartika di sejadah senja
hujan menjanji membasahi bumi
pada rindu merusuk sukma
putih bersih di persada kita

Kartika di sejadah senja
yang merentang serangkai kata
melabuh ke riba impian
membasah hati saat duha
menggunung zikir saat tahajud.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.

Senin, 02 November 2009

Gambar Urusetia Bengkel Kembara Wangsa


Gambar sebagai kenangan semasa kami menjadi urusetia Bengkel Kembara Wangsa, Pembangunan Tapak-Tapak Sejarah di Sepanjang Sungai Johor di Pulai Beach Resort, Kota Tinggi pada 10 - 12 Ogos 2009 yang di sertai sama YAB Menteri Besar Johor.
Nyala Yang Meresahkan Itu

Usahlah kauresah
seperti nyala pemberian hati di dadaku
akan nyala di kota-kota dan desa-desa
membakar setiap perasaan
membakar pada keadilan
membakar pada kesetiaan
di muka pengadilan
membakar hati mencari kebenaran

Memang tugasmu
di media, buku yang dibaca
agar terang ingatan sentiasa tanpa menggila
pada puisi dan gurindam di baca
membara pada cerita dan kata

Jangan di simpan di mata
jangan di simpan di hati
yang tidak kumiliki
api dadaku tidak pernah membakar
tapi menyala sebagai pelita

Hj. Mohamed Tahir Shahdan
Persiaran Delima 2, Kluang
2009

Minggu, 01 November 2009

Dewan Sastera November 2009


Terima kasih pada Sdr. Editor Dewan Sastera yang pertama kali menyiarkan sebuah sajak saya di halamannya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat dan rakan yang memberi dorongan kuat untuk saya terus berpuisi. Bak kata Tok Guru, ini merupakan selangkah lagi kejayaan saya ke dunia sastera. Sajaknya bertajuk " Pabila Embun Merindu". Salam Puisi dari saya.