Pages

Senin, 31 Agustus 2009

Gerimis Subuh

Jangan lepaskan jemarimu dari merindukan takdir
usaplah rerambut usia dengan manis senyuman
kala jasad itu berada dikaki langit kesal
pada suatu subuh gerimis itu
yang menyembunyikan rahsia

Pagi itu semua nya beku
laksana air di kutup hidup
mengatur nafas dengan lidah kelu
hanya bayangan puisi Ramadan akhir untukku
dengan suara lunak merdu

Pagi itu semua kelu
akar tidak lagi merindu butiran baja biru
Zam zam di alir ke jalur mulut membisu
untuk dikejut dari lamunan itu

Bertanya lagi dengan soalan-soalan
menjawab lagi dengan jawapan jawapan
agar pagi itu tidak sejuk membeku
matahari itu tidak mahu lagi muncul disitu

Sejenak mengingat
mari melihat dengan fikiran jernih
Kuasa Mu yang boleh meruntuh gunung dan bukit
ini insan kerdil yang mudah reput
cuma menjadi gilan di dunia fana ini.

Hj. Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra Delima, Kluang

Sabtu, 22 Agustus 2009

Tetamu Ramadan

Tetamu Ramadan
untuk mu dijamu rahmat
dilingkarkan dengan Maghfirah

Tetamu Ramadan
disirami dengan air mata taubat
dendangan tadarus
dibasahi lidah dengan ayat cuci

Tetamu Ramadan
tidurmu diselimut dengan zikir
dibantalkan tahjud
digebarkan dengan selawat

Tetamu Ramadan
moga mewarisi jannah
Amin.

Mohamed Tahir Shahdan
Persiaran Delima, Kluang
22 Ogos,2009

Kamis, 20 Agustus 2009

MENULIS SERIBU AYAT

Sehelai kudup daun membuka luas
di kumai sebatang dahan
nampak liar mengalir sana
sesungai lendir tanpa warna

Lajunya turan lata yang mendalam
curam yang ngarai dipandang
menakis lumat selautan
pada palung yang mencurah harapan

Warna lembayuang melintas wajah
pada lakaran mata bulatan
kusam yang marak diikatan
pada sebuah lagun yang dalam.

Cebis hati cuba membuat tafsiran
agar doa dimanjurkan
melihat detikan momen mendatang
untuk dipindahkan ke lain ladang.

Mari menulis seribu ayat
pada setiap edisi sindiran
untuk disalut pada tiang kebenaran
tidak meruntuhkan cabaran
pada pohon akan ditanam di ladang.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubaraq

Dengan rasa keikhlas,
Selamat Menyambut Ramadan 1430 Hijrah
semuga sama-sama kita sentiasa mendapatkan kelebihan
Salam dan maaf dipinta
selamat menjalani ibadat puasa

Selasa, 18 Agustus 2009

Andai Ini Ramadhan Terakhir
--------------------------------------
wahai dikau...renunglah engkau akan nasib diri
wahai qalbu...sedarkah engkau akan gerak hati
wahai aqal...terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir kali
buatmu sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
kematian...adalah sesuatu yang pasti

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu
siangnya engkau sibuk berzikir
biarpun anak tekak kering kehausan air
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
solat yang dikerjai...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
mengadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau persiakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dipersia begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang....
bakal kau syairkan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan pesta-pestaan berterawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
oleh itu duhai Ilahi....kasihanilah daku hamba-MU ini

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupai mereka yang tersayang
ayuh ke mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih berkat dari seribu bulan.

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal bersedia batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman
duhai Ilahi...

andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati-hati kami
menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasih sayang mu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

namun saudara muslimat...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
samada Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali
hanya yang termampu bagi seorang hamba itu
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA
andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita
Selamat Menyambut Ramadhan.

Citra Delima
Kluang.

Selasa, 21 Juli 2009

Sinar Ramadhan Mulai Terasa

Semua masjid surau akhir ini telah mula menjalankan aktiviti yang membuatkan ahli qariah hadir . Di antaranya adalah majlis memperingati Isya' dan Mikraj pada malam 27 Rejab, yang mana ramai ustaz menyampaikan ceramah peristiwa Nabi Muhammad SAW dinaikkan kelangit bagi bertemu dengan Allah SWT. Intisari dari peristiwa ini jelas adalah tentang keimanan sesorang islam.

Dua perkara penting dari peristiwa Isya' dan Mikraj ialah merupakan mukziziat Nabi besar kita manakala yang keduanya adalah perintah Allah kepada manusia supaya menunaikan solat lima waktu. Kalau itu di terapkan dan diulaskan dengan jelas maka umat islam rata-rata akan mendapatkan faedah yang berterusan daripada nya.

Selepas bulan Rejab ini akan tiba pula bulan Syaaban iaitu jatuh pada Khamis 23 Julai ini. Sabda Nabi SAW, maksudnya " Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu". Di antara amalan yang disuruh adalah berpuasa pada bulan syaaban.

Bulan syaaban, keagungan malamnya dengan nisfu syabaan seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Nisfu syaaban pada tahun ini adalah bersamaan malam khamis 5 Ogos, 2009 ( 15 Syaaban 1430). Apa pentingnya Nisfu Syaaban? Kerana ada hadis yang menyebut bahawa Allah SWT berkenan mengampunkan sisiapa saja di kalangan hamba-hambaNya yang memohon keampunan pada malam Nisfu syaaban. Lantaran itu malam berkenaan digelar Lailatul Bara'ah iaitu Malam Keampunan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadat kita kepada Allah dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru. Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Diantara amalan yang di lakukan pada malam itu di masjid dan surau adalah:

1. Selepas solat maghrib, solat sunat nisfu syaaban 2 rakaat
2. Membaca Yassin tiga kali selepas nya, di antaranya dibaca doa mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah, mohon rezeki yang halal untuk digunakan ke jalan Allah dan mohon ditetapkan iman dan Islam serta mati di dalam iman dan pohonlah segala yang baik dan banyakkan baca Istighfar dan selawat.

Lain-lain amalan yang kerap dilakukan oleh umat islam ialah mengadakan kenduri arwah untuk ibubapa yang telah lama meninggalkan kita. Ada masjid atau surau mengadakan kenduri arwah secara berkelompok, ini juga merupakan satu amalan yang baik dan berfaedah bagi menyatukan hati qariah dipersekitaran untuk sama-sama mengemarah masjid dan surau. Teruskan mendekatkan diri kita supaya rajin ke rumah Allah dan yang penting segala amal maaruf yang hendak kita lakukan dengan iklas, istiqamah. Dengan cara ini dirasakan mudahkan bagi kita apabila tiba bulan Ramadhan, tidak rasa begitu berat menunaikan solat Tarawikh di Masjid atau di surau. Semua ini adalah untuk ingatan diri saya dan ahli keluraga saya, semoga kita sentiasa mendapat rahmat dari Allah SWT. Amin ....Ya Rabbal Alamin.

Selasa, 23 Juni 2009










Puisi Untuk Parish

Apabila melihat kau ketawa dan gembira,
atau tangis hiba,
apabila melihat kau berjenaka atau leka bermain,
sebenarnya aku melihat diriku sendiri.

Dan dengan ini Parish,
segala tiada yang ada pada diri ku sayang,
sesungguhnya akan kami sediakan
maka, gunakan segala kebijaksanaan.

Agar kami tidak lagi merasakan,
yang kami wariskan,
demi kesempurnaan dan kebahagian,
dunia dan akhirat,
untukmu “selamat hari jadi”
kami ucapkan.

Atuk Aji Dan Atuk Jah
24 Jun 2009

Senin, 18 Mei 2009

Realiti Kehidupan

Aku akan terus berpuisi
memaparkan realiti kehidupan
tentang amalan, keikhlasan dan kesopanan
bukannya lancung, curang dan kedengkian.

Realiti kehidupan
pada hak dan kebatilan.

Pada pohon-pohon merata
buah dan bunga serta haruman
berdiri kukuk menjadi perlindungan
pada jiwa ketenangan.

Realiti kehidupan
unggas berterbangan, ikan di lautan
menjadi titik pertemuan
kebebasan terbang dan berenang.

Realiti kehidupan
akan aman dunia
masing-masing hidup sebagai amanah Tuhan.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.