Pages

Kamis, 20 Agustus 2009

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubaraq

Dengan rasa keikhlas,
Selamat Menyambut Ramadan 1430 Hijrah
semuga sama-sama kita sentiasa mendapatkan kelebihan
Salam dan maaf dipinta
selamat menjalani ibadat puasa

Selasa, 18 Agustus 2009

Andai Ini Ramadhan Terakhir
--------------------------------------
wahai dikau...renunglah engkau akan nasib diri
wahai qalbu...sedarkah engkau akan gerak hati
wahai aqal...terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir kali
buatmu sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
kematian...adalah sesuatu yang pasti

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir tentu
siangnya engkau sibuk berzikir
biarpun anak tekak kering kehausan air
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
solat yang dikerjai...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
mengadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau persiakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dipersia begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang....
bakal kau syairkan

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan pesta-pestaan berterawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
oleh itu duhai Ilahi....kasihanilah daku hamba-MU ini

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupai mereka yang tersayang
ayuh ke mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih berkat dari seribu bulan.

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal bersedia batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman
duhai Ilahi...

andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati-hati kami
menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasih sayang mu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

namun saudara muslimat...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
samada Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali
hanya yang termampu bagi seorang hamba itu
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA
andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita
Selamat Menyambut Ramadhan.

Citra Delima
Kluang.

Selasa, 21 Juli 2009

Sinar Ramadhan Mulai Terasa

Semua masjid surau akhir ini telah mula menjalankan aktiviti yang membuatkan ahli qariah hadir . Di antaranya adalah majlis memperingati Isya' dan Mikraj pada malam 27 Rejab, yang mana ramai ustaz menyampaikan ceramah peristiwa Nabi Muhammad SAW dinaikkan kelangit bagi bertemu dengan Allah SWT. Intisari dari peristiwa ini jelas adalah tentang keimanan sesorang islam.

Dua perkara penting dari peristiwa Isya' dan Mikraj ialah merupakan mukziziat Nabi besar kita manakala yang keduanya adalah perintah Allah kepada manusia supaya menunaikan solat lima waktu. Kalau itu di terapkan dan diulaskan dengan jelas maka umat islam rata-rata akan mendapatkan faedah yang berterusan daripada nya.

Selepas bulan Rejab ini akan tiba pula bulan Syaaban iaitu jatuh pada Khamis 23 Julai ini. Sabda Nabi SAW, maksudnya " Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu". Di antara amalan yang disuruh adalah berpuasa pada bulan syaaban.

Bulan syaaban, keagungan malamnya dengan nisfu syabaan seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Nisfu syaaban pada tahun ini adalah bersamaan malam khamis 5 Ogos, 2009 ( 15 Syaaban 1430). Apa pentingnya Nisfu Syaaban? Kerana ada hadis yang menyebut bahawa Allah SWT berkenan mengampunkan sisiapa saja di kalangan hamba-hambaNya yang memohon keampunan pada malam Nisfu syaaban. Lantaran itu malam berkenaan digelar Lailatul Bara'ah iaitu Malam Keampunan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadat kita kepada Allah dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru. Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Diantara amalan yang di lakukan pada malam itu di masjid dan surau adalah:

1. Selepas solat maghrib, solat sunat nisfu syaaban 2 rakaat
2. Membaca Yassin tiga kali selepas nya, di antaranya dibaca doa mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah, mohon rezeki yang halal untuk digunakan ke jalan Allah dan mohon ditetapkan iman dan Islam serta mati di dalam iman dan pohonlah segala yang baik dan banyakkan baca Istighfar dan selawat.

Lain-lain amalan yang kerap dilakukan oleh umat islam ialah mengadakan kenduri arwah untuk ibubapa yang telah lama meninggalkan kita. Ada masjid atau surau mengadakan kenduri arwah secara berkelompok, ini juga merupakan satu amalan yang baik dan berfaedah bagi menyatukan hati qariah dipersekitaran untuk sama-sama mengemarah masjid dan surau. Teruskan mendekatkan diri kita supaya rajin ke rumah Allah dan yang penting segala amal maaruf yang hendak kita lakukan dengan iklas, istiqamah. Dengan cara ini dirasakan mudahkan bagi kita apabila tiba bulan Ramadhan, tidak rasa begitu berat menunaikan solat Tarawikh di Masjid atau di surau. Semua ini adalah untuk ingatan diri saya dan ahli keluraga saya, semoga kita sentiasa mendapat rahmat dari Allah SWT. Amin ....Ya Rabbal Alamin.

Selasa, 23 Juni 2009










Puisi Untuk Parish

Apabila melihat kau ketawa dan gembira,
atau tangis hiba,
apabila melihat kau berjenaka atau leka bermain,
sebenarnya aku melihat diriku sendiri.

Dan dengan ini Parish,
segala tiada yang ada pada diri ku sayang,
sesungguhnya akan kami sediakan
maka, gunakan segala kebijaksanaan.

Agar kami tidak lagi merasakan,
yang kami wariskan,
demi kesempurnaan dan kebahagian,
dunia dan akhirat,
untukmu “selamat hari jadi”
kami ucapkan.

Atuk Aji Dan Atuk Jah
24 Jun 2009

Senin, 18 Mei 2009

Realiti Kehidupan

Aku akan terus berpuisi
memaparkan realiti kehidupan
tentang amalan, keikhlasan dan kesopanan
bukannya lancung, curang dan kedengkian.

Realiti kehidupan
pada hak dan kebatilan.

Pada pohon-pohon merata
buah dan bunga serta haruman
berdiri kukuk menjadi perlindungan
pada jiwa ketenangan.

Realiti kehidupan
unggas berterbangan, ikan di lautan
menjadi titik pertemuan
kebebasan terbang dan berenang.

Realiti kehidupan
akan aman dunia
masing-masing hidup sebagai amanah Tuhan.

Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru.

Tiga Hari Di Kota Suci Madinah


Pada hari pertama di Madinah, kami penuhi dengan bersolat di masjid Nabawi, terutama solat lima waktu, disamping itu membaca al-quran, solat-solat sunnat dan segala pahala amalan dihadiahkan kedua-dua ibu bapa telah meninggalkan kami.

Pada hari ke duanya, jadual kami adalah melawat tempat-tempat bersejarah di kota Madinah, antaranya adalah Jabal Uhud, yang mana sejarahnya adalah peperangan Uhud. Nabi Muhammad SAW bersabda " Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang sangat mencintai kita, dan kita pun mencintainya" (Shahih Muslim ). Di Bukit Uhud ini banyak sahabat nabi mati syahid, antaranya Syadina Hamzah, nabi mengelarnya sebagai syahid al-syuhada. Lain-lain tempat adalah masjid Qiblatain, yang sejarah nya adalah nabi menerima perintah dari Allah SAW supaya pindahkan kiblatnya dari Plastein ke Ka'abah Masjidi Haram di Mekah.Lain-lain tempat adalah di ladang kurma, yang mana berpeluang untuk membeli berbagai-bagai jenis kurma dan gula-gula untuk dijadikan sebagai hadiah kepada sahabat handai di tanah air nanti. Lain-lain tempat yang dilawati adalah perkuburan Baqi'. Di perkuburan ini terletaknya 10,000 sahabat nabi yang dimakamkan termasuk Saidina Othman dan isteri-isteri baginda. Lain-lain tempat yang dilawati adalah masjid tujuh, kesan peninggalan kubu-kubu peperangan dizaman nabi. Pada hari ketiganya, selepas solat subuh kami dibawa ke makam nabi bagi ziarah akhir sebelum bertolak ke Mekkah. Selesai sahaja ziarah wada' dimakam nabi, kami balik ke bilik bagi persiapan bagi memakai ihram, seperti mandi sunnat ihram, solat sunnah dan menurunkan barang-barang dari bilik ke bus yang akan membawa kami menuju ke Bir Ali bagi mikat niat umrah dan berniat umrah sebelum bertolak ke Mekkah.

Setelah siap semuanya berihram dan berkumpul menaiki bas, ustaz mula mengarahkan bas bergerak menuju ke Bir Ali. Bas bergerak meninggalkan tempat bermalamnya kami semua dan menuju jalan ke Mekah. Setibanya di perkuburan baqi', kami semua menghadiahkan al-Fatihah dan apabila sampai nampak kubah berwarna hijau, tempat makam nabi, kami semua melambai-lambaikan tangan tanda perpisahan. Kami telah pun membuat satu azam baru di makam nabi, seandaikan kami diizinkan Allah dan diberi rezki dan kesihatan, kami berdua akan kembali lagi menziarahi Madinah pada setiap tahun. Semakin jauh wajah masjid nabawi ditinggalkan, semakin sayu hati kami dan tidak disangka-sangka linangan air mata membasahi pipi disaat melambai-lambai nabawai, seolah-seolah nabi juga melambai-lambai kami semua.

Setiba di Bir Ali, kami masuk masjid dan solat tahayatul masjid,solat sunnat ihram dan terus berniat ihram, maka di kala itu, mulalah pantang larang semasa dalam ihram bermula, bertalbiah mula berkumandang dalam bas hinggalah menuju arahkan ke Kota Suci Mekah.

Aku Sujud Di Raudhah

Di taman ini aku sujud
antara makam nabi dan mimbarnya
bau-bauan harum kasturi
mengabadikan diri.

Gelisah mencampak rasa
bagai nabi bersama
mengimamkan kami sujud di sana
menggamit doa tangan terbuka.

Aku kambali lagi di taman ini
mencari kedamaian
menjadi saksi
bersama satu saf para nabi.

Di taman ini aku sujud
tempat nabi tahajjud
dahulu hanya sebatang kurma
bertongkatkan di tangannya.

Kini Raudhah seindah syurga
kami umatnya menikmati rasa
sebuah syurga gambaran dunia
antara amalan dan bakti
ketika di akhirat nanti
Amin....

Mohamed Tahir bin Shahadan
Madinah, 25 Ribulakhir 1430H

Sepuluh Tahun Terpanggil Kembali

Tanggal 20 April 2009 bersamaan 24 Rabiulakhir 1430H , kami bersama isteri telah terpanggil menjadi tetamu Allah untuk ke tanah Suci melakukan ibadat Umrah. Pada Tahun 1999 kami berdua telah selamat menunaikan fardu haji dan selepas sepuluh tahun kami terpanggil kembali menjadi Tetamu Allah.

Kami bertolak dari Lapangan Terbang Senai jam 7.30 pagi dan transit di KLIA dan jam 3.00 petang kami bertolak ke Jeddah, sampai di sana jam 7.30 malam waktu Jeddah. Kapal terbang yang kami naiki memuatkan lebeh kurang 350 orang jemaah, termasuk yang kami kenali adalah Tok Guru Nik Aziz, Syed Hamid Albar dan kumpulan Hijjas. Kumpulan kami adalah dari Tabong Haji Travel & Services Sdn Bhd.

Jam 7.30 malam waktu Jeddah, kami tiba dan seterusnya menaikki bas ke Bandar Suci Madinah, lebeh kurang jam 4.30 subuh rombongan kami sampai ke Madinah, Wahoo! Sungguh jauh berubah wajah Madinah berbanding sepuluh tahun yang lalu, terpegun juga kami melihatnya. Kami di tempatkan di Anwar Palace, hotel bertaraf lima bintang, tinggal berdua sebilik. Oh! sungguh mengkagumkan suasana nya. Selesai mengangkat barang-barang ke bilik lebih kurang jam 5.00 pagi, waktu subuh telah pun berlalu, siapkan mandi dan pakai, kami berdua terus ke masjid yang tidak jauh, turun dari hotel terus ke pintu masjid Nabawai. Memandangkan kami berdua masih lagi ingat jalan masuk ke masjid, kami terus melakukan solat subuh berjemaah bersama ahli-ahli rombongan kami. Orang lain sibuk baru pulang, dan ada yang menbuat ziarah ke Makam Rasulallah dan ke Raudhah.

Mengikut jadual, jam 8.00 pagi selepas sarapan pagi, ustaz yang memandu kami akan melakukan ziarah ke Makam Nabi dan seterusnya ke Raudhah. Oleh kerana kami yang telah pernah pergi, kami mengambil jalan singkat dan terus ke Makam Nabi Muhammad SAW lepas saja solat Subuh, Alhamdullah, dikala itu tidaklah ramai sangat orangnya, jadi mudahlah kami lama sedikit di Makam Nabi bagi menyampaikan salam dari kami, ahli keluraga kami dan salam yang dikirim oleh sahabat-sahabat kami di Malaysia. Diantara doa kami selepas ka Makam Nabi, adalah berdoa agar kami berdua dapat melakukan ibadat umrah dengan sempurna, sihat tubuh badan, beri kelapangan dan kemudahan melakukan tawaf dan saie. Selesai saja ziarah makam, kami terus ka Raudhah dan melakukan solat hajat dua rakaat dua kali, satu disudut Raudhah dan satu lagi di Mimbar Nabi. Semuanya berjalan dengan sempurna dan teratur. Puas sungguh rasa hati kami melakukan ziarah dan solat dalam kedaan aman serta khusuk kehadrat Allah SWT. Ini lah sebahagian dari hari pertama kami berada di Kota Suci Madinah.