Pages

Rabu, 31 Maret 2010

GAMBAR SEMASA LAWATAN KE SURABAYA

Gambar Kenangan Semasa Berada Di Surabaya, Indonesia

Merchu Tanda Ke Bukit Batu, Malang
Dihalaman Tempat Lawatan Di Kota Batu, Malang
Mengikuti Kursus Masakan di Malang
Sebuah Kebun Bunga-Bunga Di Tanah Tinggi, Kota Batu
Di sebuah Kedai Makan Di Kota Malang.

Pada Tahun 2005, kami berpeluang melawat Kota Surabaya, Indonesia. Mengikuti lawatan belajar anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor. Di paparkan sebahagian gambar sebagai kenangan berada di Malang dan Kota Batu, satu daerah Surabaya

Senin, 29 Maret 2010

SURAU ITTIHAD MARIAM

Gambar-Gambar Di Sekitar Sambutan Maulidur Rasul SAW
Surau Ittihad Mariam, Johor Bahru Tahun 2010H

Penceramah Undangan Ust. Hj. Zamihan Mat Zain Al-Ghari ( JAKIM)
Penulis Sedang Menyampaikan Ucapan Alu-aluan

Sebahagian Dari Qariah Wanita Sedang Menikmati Jamuan

Yg. Bhg. Datin Zaini (Isteri Kepada YBM Dato' Penasihat Surau)

Sebahagian Qariah kaum Lelaki
Pada 28 Mac 2010, bersamaan 12 Rabiulakhir 1431, Surau Ittihad Mariam, Johor Bahru telah mengadakan majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW. Di adakan di perkarangan Surau dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Penceramah Undangan adalah Ust. Hj. Zamihan bin Mat Zain Al-Ghari dari JAKIM, Putrajaya.
Turut hadir di majlis ini adalah YBM Dato' Ungku Mohd. Yusoff bin Abdul Rahman dan Datin merupakan seorang penasihat Surau Ittihad Mariam. Juga YB Dato' Imam Mahat, Imam Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Kepada hadirian dan hadirat serta dif-dif jemputan, kami barisan jawatankuasa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Kepada penderma-penderma yang tidak saya senaraikan dalam blog ini, diucapakan terima kasih atas sumbangan bagi menjayakan majlis ini.

Jumat, 26 Maret 2010

CERITA-CERITA SAHAJA

Ini adalah satu cerita yang diterima dari orang yang telah berpoligami. Dia menyatakan bahawa erti rumahtangga sebenarnya adalah ibarat cerita yang di paparkan ini.

Kalau rumah satu tiang adalah dikata seperti rumah beruk, rumah dua tiang adalah seperti batu nisan dikuburan , rumah tiga tiang dikatakan sebagi tungku dapor yang di atas periuk. Yang benar-benar rumah adalah adalah yang ada empat tiang, barulah lengkap untuk di buat bumbungnya, dinding dan lain-lain nya.

Tiang yang di maksudkan adalah isteri.
Begitulah ceritanya.
Mari kita renungkan bersama.
Diari 2010-03 - Sambutan Maulidur Rasul SAW

Pada 28 Mac 2010, surau kami akan mengadakan majlis sambutan maulidur rasul SAW. Penceramah undangan adalah Yg. Bhg. Ustas Hj. Zamihan bin Mat Zain Al-Ghari dari Institut Latihan Islam Malaysia ( ILIM) Putrajaya.

Surau kami memang bertuah mendapatkan seorang Penasihat yang bermurah hari, sehinggakan keseluruhan belanja makan minum pada malam itu di tanggungnya. Adalah dijangkakan 300 – 400 orang akan hadir pada malam tersebut.

Manakala khemah dan alat peralatan berkaitan juga di tanggung oleh seorang peniaga yang bakal menjadi ahli quariah surau kami. Empat buat knoppi yang yang boleh memuatkan 200 orang akan di dirikan di perkarangan surau kami.

Kami juga mendapat kerjasama dari penduduk di sekitar surau, pungutan derma ikhlas di jalankan. Biasanya kutipan boleh menampung lain-lain perbelanjaa yang lain bagi tujuan majlis ini.

Peranan dan kerjasama dari barisan jawatankuasa juga amat memberangsangkan. Bersedia menerima tugas yang di amanahkan pada hari tersebut. Dari kerja-kerja memgemas surau hinggalah menghantar surat siaran diuruskan oleh jawatankuasa.

Sekarang ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan seberapa ramai yang hadir ke majlis ini. Ini adalah kerana penceramah yang kami undang bukanlah sebarang orang. Terkenal juga orangnya, teutama di Johor Bahru. Yang penting nya adalah dapat kita sedikit ilmu yang bakal kita amalkan sempena sambutan maulidur rasul.

Kami menjemput semua kaum muslimin dan muslimat hadir ke surau kami di alamat Jalan Dato’ Setia, Johor Bahru.

Kamis, 25 Maret 2010

Diari 2010 – 02 - Kematian

Menziarah dan membantu menguruskan jenazah adalah satu kebiasaan buat diri saya. Kalau tiada siapa waris atau kenalan tiada membantu pemandi jenazah, saya tampil bagi membantunya dari memandi, mengapan, solat dan seterusnya dikembumikan.

Kerja-kerja ini adalah warisan dari Allahyarham ayah saya yang bertugas sepenuh masa semasa hayatnya. Saya di ajar dari bangku sekolah hinggalah kedewasa. Juga dijadikan sebagai teman bagi membantu kerja-kerja mengurus jenazah.

Kalau anda sentiasa menziarahi atas kematian, maka hidup anda setiap hari akan sentiasa ingatkan mati. Bak kata orang, orang yang bijak adalah orang sentiasa mengingati mati.

Satu ketika, keanehan berlaku pada diri saya tentang hal-hal menguruskan jenazah. Selepas dimandi, di kapan, di solat dan akhirnya di kuburan. Satu diolag telah berlaku pada diri saya dengan jenazah ketika hendak di turunkan jenazah ke liang lahat.

Biasanya, sebelum di turunkan jenazah ke liang hahat, saya akan membuka kembali kain kapan yang di ikat pada jenazah. Membuka bahagian mukanya dan memalingkan ke arah kiblat. Di hidukan sekepal tanah di bahagian mukanya sebelum di tutup atau ditambus dengan tanah.

Bagaikan di rasakan satu dialog berlaku antara saya dengan simati ketika itu.
“Assalam Mualaikum Tuan Haji, terima kasih atas kerja-kerja menguruskan kami hingga ke liang lahat” suara nya terdengar ditelinga saya.

“Mualaikumusalam….” Jawapan dalam hatiku ketika itu.

“ Dimana saya sekarang? Tanya sekali lagi.

“ Anda sedang kami semadikan ke alam barazah, anda telah di panggil oleh Allah untuk bertemu kembali kepada Nya” jelas ku dengan nada berbisik-bisik. Mungkin orang lain tidak mendengarnya.

“ Adakah isteri dan anak-anakku ada menghantar sama di kuburan?” tanya nya kali ini dan matanya seolah-olah mencari-mencari nya.

“ Alhamdullahi, semuanya ada tuan, semuanya sedang berdukacita atas pemerginan tuan” kata ku membisik ketelinganya, agar kedaannya tenang. Tidak dapat dilihat atau di dengari orang ramai.

Hati saya mula terasa satu macam hendak melayan percakapannya. Bisikan semakin kencang hendak bertanya bermacam-macam soalan hal-hal yang di tinggalkan.

“ Tuan Haji, doakan saya agar tenang menghadapi soalan-soalan dari malikat”
Katanya sambil memejamkan mata dan terus tidak berkata-kata lagi.

“ Al-Fatihah…” tercentus suara ku di hadapan orang ramai. Maka ramailah orang sedekahkan Al-Fatihah di kala itu.

Oleh kerana banyak dan kuatnya ayat Fatihah, saya terkejut bangun dari mimpiku. Dikala itu, tahrim sedang di baca dari surau. Saya bingkas bangun dari tidur dan beristifar panjang ..

Oh! Kata hati kecilku. Rupa saya bermimpi. Memang setiap malam sebelum tidur , saya mendoakan agar saya di matikan dengan kedaan sempurna hendaknya. Kerana dalam tidur itu, kita dimatikan sementara kala itu. Kalau kita bangun esoknya, itulah tandanya kita di beri tambah umur kita . Saya tuliskan ini hanya untuk kesedaran diri saya sahaja, mudah-mudahan Allah terima doa kita.

Rabu, 24 Maret 2010

SAJAK PENGHIDUPAN

Penghidupan

Di bumi manusia berjalan
menterjemahkan keresahan rumput dipijak
berjalan dengan segala kegetiran

Di bukit keldai mendaki
dengan penuh kesabaran
membilang batu-batu setiap langkah

Di sungai dan di lautan
perahu belayar penghidupan
melukis ombak-ombak garang
untuk sampai ke dataran

Telah kulalui semua jalan itu
menjelaskan liku-liku perjalananku
menuju rumahku
pada malam itu
pada bukit dan padang
sungai dan lautan salju.

………..
Mohamed Tahir bin Shahdan
Persiaran Citra, Johor Bahru

ANAK SAYA SEORANG ANGGOTA POLIS

Catatan Sempena Hari Polis Pada 25 Mac 2010

Semua orang tahu tentang polis. Iaitu satu jawatan yang menjaga keamanan negara kita. Kita sering terbaca dalam akhbar dan mediamasa tentang kejayaan pasukan polis membenteras penjenayah dan lain berita kejayaan nya dalam menjaga ketenteraman awam. Ada juga cerita-cerita polis yang tertangkap akibat melakukan rasuah, ini agaknya kuasanya yang diberikan kepadanya dalam hal-hal tertentu. Atau agaknya, oleh kerana orang-orang Malaysia ini tidak patuh kepada undang-undang, seolah-olah semuanya boleh di beli dengan wang ringgit. Jadi dengan faktor ini, maka terdedahlah pasukan polis di kaitkan dengan rasuah.

Anak saya, dibangku sekolah memang jenis murid yang lemah. Keputusan pepereksaan semuanya tidak menjuruskan untuk mendapat kerja. Lepas SPM, saya memberi kebebasan nya untuk memilih kerja. Hampir dua tahun dia bekerja di pasar raya, tetapi akhirnya dia mengeluh yang pendapatan tidak tetap dan terjamin masa depannya, lalu menyerahkan kepada saya untuk mencari kerja yang difikirkan sesuai dengan kelulusannya.

Saya dengan sapontan memperlawa beliau memohon jawatan polis yang di temuduga secara terbuka. Beliau tiada pilihan lain terus mensetujui perlawaan saya. Banyak nasihat saya berikan dan menyuruh beliau berfikir sebelum menerima jawatan ini. Dengan takdir Allah, beliau berjaya dalam temuduganya sebagai polis bermula berjawatan rendah. Sebelum mengikuti kursus, panjang ceramah saya berikan kepada beliau.

Dua bulan selepas tarikh kursus, penjaga dibenarkan melawat anaknya. Dengan rasa hiba, kami dan isteri bercucuran air mata apabila melihat wajahnya telah berubah. Dari kulitnya yang putih menjadi hitam, memang tidak serupa lagi wajah asalnya. Lama ibu menangis memeluk anaknya yang sudah lama tidak berjumpa. Memang saya tidak dapat gambarkan bagaimana teruknya beliau di didik untuk menjadi seorang anggota polis.

Kini hampir sudah lima tahun beliau bertugas di PJA di Muar, satu perubahan pada dirinya adalah tingkah lakunya dari segi ketaatan kepada ibu bapa dan kepada Allah. Bukan hendak memuji anak, tetapi apa yang dapat saya ceritakan pada anggota polis yang lain, jagalah diri dari menjadi penerima rasuah, kamu berkursus begitu teruk, dengan rasuah, kamu boleh di buang kerja dan di dakwa. Hilang mata pencarian, masa depan gelap oleh kerana hendakkan cepat senang. Hari ini, kerajaan telah mengambil perhatian kepada pasukan polis, di naikkan gaji dan elaun, semata-mata untuk mengelakkan rasuah.

Saya menyeru, anak dan semua rakan-rakannya dalam pasukan polis supaya menghisapi diri sendiri, jangan tinggalkan ibadat kita kepada Allah SWT, jaga nama baik keluraga, jangan lupa solat lima waktu walau berada di mana sekalipun. Dengan ini akan menghindarkan diri kita terjebak dengan rasuah. Kami harap satu hari nanti, jika semua anggota polis seluruh negara berazam tidak melakukan rasuah, maka polis akan dihormati oleh masyarakat. Itulah doa kami agar segalanya berjalan dengan keredhaan Allah.

Selamat Menyambut Hari Polis.

Selasa, 23 Maret 2010

PETUA ORANG TUA

SEJAUH MANA KEBENARAN, PETUA ORANG-ORANG TUA KITA?


1. Gatal di tangan kanan, bakal mendapat rezki dan sebaliknya gatal di tangan kiri hendak berbelanja boros.

2. Mata berkenyit sebelah kanan, hendak bertemu kawan lama sebaliknya mata berkenyit sebelah kiri , tanda hendak menangis.

3. Jangan makan tebu di waktu magrib, nanti dikatakan mengisap darah ibu.

4. Jangan memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.

5. Anak dara tidak boleh bernyanyi di dapur, nanti bersuamikan orang tua.

6. Anak dara tidak boleh duduk di tangga, nanti lambat di pinang orang.

7. Jangan membuka payung dalam rumah, nanti ular masuk ke rumah.

8. Mengangkat cawan atau pinggang mangkuk, tiba-tiba terhempas berderai, tanda ada mala petaka berlaku di kalangan ahli keluraga.

9. Anak dara nak kahwin cepat, makan sirih hantaran atau jadi pengapit pengantin.

10. Burung helang kuit berbunyi tujuk kali, tanda ada harimau di bawahnya.

11. Kanak-kanak di larang bermain waktu maghrib, nanti di sorok hantu.

12. Di larang bersiul-siulan, nanti memanggil syaitan.

Perhatian!!!
12 Petua di atas bukannya satu kepercayaan, tetapi jadikan ia sebagai satu panduan yang baik-baik sahaja. Yang telah berlaku anggaplah satu kebetulan sahaja.

Sila ulaskan dan dapatkan lagi petua yang biasa kita dengar dari nenek-nenek kita bagi tujuan koleksi khazanah sahaja.

Bersambung …..

Sabtu, 20 Maret 2010

Sahabat Semasa Dibangku Sekolah - 1967

Tn. Hj. Zainaldin ( Usahanya untuk membuat pertemuan )
Puan Hjh.Shamsiah dan suaminya
Tn. Hj.Jamali dan Isterinya ( Bekas Penghulu)
Tn.Hj. Alel Arifen dan isterinya
Hjh. Zayewah dan rakan yang lainnya

Wajah-Wajah Sebahagian Sahabat Semasa Sekolah Yang Tidak Jumpa Sejak Tahun 1967
Atas usaha seorang sahabat, kami semua bakal dapat di himpunkan pada bulan Jun, 2010 akan datang di Melaka. Boleh dikatakan hampir 43 tahun kami tidak bertemu, iaitu sejak kami mengambil SPM tahun 1967. Semuanya telah bersara dalam perkhidmatan dalam bidang masing-masing.

Kamis, 18 Maret 2010



Minat seni dalam diri saya bermula dibangku sekolah, iaitu melukis. Banyak karya lukisan masih di sekolah menengah dulu. Lepas SPM, diri kami berubah menjadi seorang pekerja teknikal. Selama 33 tahun bertugas sebagai seorang penasihat pertanian, mengubah fikiran petani, pendidikan dewasa dan akhir sebelum bersara, mengawal peruntukan jabatan.
Sekarang sudah empat tahun bersara, bermakna jiwa seni mula berputik kembali, dengan bimbingan rakan-rakan seangkatan (penulis), saya berjinak dengan buku-buku, majalah dan novel.
Hasilnya, tercentuslah sajak-sajak dari ciptaan saya sehingga di siarkan di majalah, akhbar dan buku antologi sajak. Hidup kini berubah dari seorang teknikal kepada orang seni. Itulah gambaran sebotol air mineral, buku dan kamus menjadi teman semasa kesepian. Hidup seni berbeza, sesuailah dengan umur telah meningkat. Air membasah tekak, buku membuka minda.
Terkenang kisah sebulan sebelum menunaikan umrah tahun 2009, kereta saya dipecah dan salah satu barang yang di ambilnya adalah sebuah laptop. Di dalamnya banyak tersimpan macam-macam cerita, amanah dan sajak yang tidak ada di simpan di lain tempat.

Penggantinya, saya menggunakan laptop anak yang sepertimana gambar disebelah, konsep pinjam dan guna antara kami dua beranak. Kalau nak menulis, anak terpaksa berkorban, kadang-kadang sampai seminggu lamanya. Alhamdulillah, sempena hari lahir saya, anak menyatakan laptop ini adalah sumbangan sempena hari jadi bapanya. Masih belum percaya, hingga semalam ia balik kerumah dan menunjukkan yang ia telah pun membeli sebuah laptop sendiri. Sekarang sahlah laptop di atas telah menjadi milik saya. Terima kasih anak....yang faham perjuangan dan rintihan ayahnya yang bersara genap empat tahun.

Selasa, 16 Maret 2010

Diari - 2010-01

Diari - 2010-01- Mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul

Semalam, 15 Mac 2010, langkah pertama terpanggil dari Jabatan Agama Negeri Johor bagi mendapatkan seorang penceramah bagi majlis di atas yang di jadualkan pada 28 Mac 2010. Rupanya yang memanggil saya ada seorang sahabat kenalan saya semasa beliau menjadi Pegawai Tadbir Agama Klaung, Ust. Hj. Borhanuddin bin Tibe'. Beliau menyarankan nama seorang penceramah dari JAKIM Ust. Zamihan nama. Beliau menyatakan, semasa ust. berceramah di Daerah Pontian, dapat sambutan baik dari pendengar di sana. Selesai mendapat maklumat nombor telefon, saya pun bergerak dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Malamnya, saya membuat edaran surat jemput kepada semua jawatankuasa surau bagi membincangkan Majlis sambutan yang bakal di adakan pada tarikh yang di tetapkan.
Sebelum tidur saya melayari internet, terus ke laman web Jakim Malaysia, layar punya layar, sukar juga menjijaki nama ustaz yang di maksudkan. Akhirnya saya nikat terus ke web ILIM ( Ins. Latihan Islam Malaysia) dan dalam semakan kakitangan, saya terjumpa nama yang di maksudkan. Ust. Hj. Zamihan bin Mat Zain, Penolong Pengarah, Pusat Al-Quran dan Ilmu Tras. Rasa penuh kesyukuran apabila dapat maklumatnya.

Selasa 16 Mac, 2010 jam 10.15 pagi, saya terus menghubungi ustaz tersebut melalui telefon nya dan dapat berbual dengannya bagi menjaminkan kehadirannya pada majlis sambutan Maulidur Rasul surau kami di Johor Bahru. Kepuasan dapat di rasakan, dengan ini saya terus membuat kertas perbincangan bagi mesyuarat yang di jadualkan pada malam ini.

Malamnya, mesyuarat berjalan lancar, semua jawatankuasa dan orang perseorangan yang dijemput hadir ke mesyuarat. Satu persatu agenda dibaca, semua diterima pakai idea saya. Hati mulai lega mesyuarat dapat dijalankan dengan kemas.

" Saya hendak bertanya sedikit Pengerusi!" seorang daripada jawatankuasa ingin membuat pertanyaan.
" Sila encik......" jelas pengerusi.
" Cukup tak makanan yang disediakan, kalau orang datang ramai apa nak dijemu, penceramah yang hadir orang terkenal" jelasnya
Pengerusi menjeling muka ke arah saya, kononnya minta sempati untuk saya menjawabnya. Saya faham apa yang dimaksudkan. Dengan nada yang senis, pengerusi suruh saya menjawabnya.
"Encik, mengikut pengalaman saya, makanan yang di sediakan cukup, malah setiap tahun ada saja berlebihan" jelasku kepada orang yang menyuarakan soalan.
" Itu dulu,,, penceramah dari Johor', ini dari Putrajaya" jelasnya.
" Oklah, berapa nak tambah, 100 atau 50 saja, cukup tak" tanyaku

Persoalannya, yang saya bangkitkan adalah, mengapa soal makan di ajukan. Mengikut pengalaman saya, kalaulah jamuan di surau, banyak pun cukup, sedikit pun cukup. Pandai-pandai orang yang menghidangnya.

Sewajarnya persoalan yang ditimbulkan adalah apakah ilmu yang bakal di bentangkan oleh penceramah nanti. Dengan perbincangan ini dapatlah saya menghubungi penceramah bagi membincang isi ceramah pada malam itu. Itu adalah lebih baik dari membincangkan soal makan minum. Seolah-olah makan minum menjadi pokok utama dalam setiap majlis ilmu yang dijalankan di surau. Renungkan lah...

Sabtu, 13 Maret 2010

SAJAK KEBEBASAN


Patah Sayap Kebebasan

Patah sayap kebebasan
seekor burung murni
pelambang kebebasan

Tidak lagi terbang ke inti alam
ke awan tinggi
di langit biru

Tidak lagi ke pusat sunyi
senyap
sepi

Patah sayap kebebasan
ke pusat damai dan tenang
tidak mengalirkan cahaya
jiwa terpadam kata

Biarlah laut berombak
ketabahan, keberanian dan kesetiaan
menerima keadilan
agar patah sayap kebebasan
tidak menumpahkan darah semangat

……..Mohamed Tahir Shahdan
Persiaran Delima 2, Kluang

SAJAK MINGGU INI

Rinduku Mulai Reput

Rinduku mulai reput
pada sungai yang mengalir
menuju ke lautan kata
menagih waktu
pada sebiji cahaya kristal

Kata-kata dari mulut bulan
mendesak hanyut sempati waktu
gelora dalam alun kediaman
pada batu yang dikhinati

Rinduku mulai reput
pada gelisah kehidupan
irama darahku mula menari-nari
pada gelombang yang telah terbakar

Sentiasa ku dengar anjing-anjing menyalak
pada hati luka di menara
meminta pertolongan di mimbar harapan
pada riak gelombang minta dibaca

Akhirnya kulepaskan lidah yang terbakar
untuk di labuhkan di sukma
kelihatan anjing merebut-rebut tulang
sebilah pisau menghiris langit

Zikirku karam di muara
mengikat sampan-sampan hanyut
yang kehilangan dermaga

Dari doa kudengar
bintang-bintang berguguran
rindu ditempatkan ke langit tinggi.

……..Mohamed Tahir Shahdan
Persiaran Delima 2, Kluang

Jumat, 12 Maret 2010

Nostalgia Hidupku

Gambar kenangan Adik Beradik Bersama Ayah dan Bonda

Gambar Kenangan Ayah Bonda Bersama Menantu-nya


Gambar Bersama Cucu-Cucu Lelakinya

Gambar Bersama Anak Perempuan Dan Menantu Perempuan

Gambar Kenangan Dengan Cucu Dan Cicitnya

Nostalgia Hidupku
Sempena umurku ke 60 Tahun, aku membuka album-album lama yang jarang ditatap. Helaian demi helaian dibuka, maka terjumpa beberapa keping gambar kenangan abadi bersama ibu dan bapa yang telah lama meninggalkan kami. Gambar-gambar ini di ambil di awal tahun lapan puluhan. Ada juga abang ipar dalam gambar itu telah pun kambali ke Rahmatullah. Ada juga gambar kenangan ibu dan ayah bersama cucu dan cicitnya, dengan menantunya.


Minggu, 07 Maret 2010


( Klik pada gambar)

Selasa, 02 Maret 2010

Kuliah Melalui Blog

RIDHA

Ridha akan membuka pintu keselamatan. Ridha membuat hati ini menjadi terjauh dan bersih dari tipu daya, keburukan dan sifat dengki. Kerana hanya hati yang bersihlah yang selamat dari azab Allah. Hati yang bersih juga jauh dari keraguan, dari menyekutukan Allah, dan dari perangkap-perangkap iblis yang menyesatkan. Dalam hati seperti ini hanya ada satu, iaitu ALLAH.
Dengan ridha, maka adanya kebersihan, kelurusan, keikhlasan dan kemuliaan. Ridha dapat kita jadikan ikatan yang erat antara kita dengan manusia dan dengan Allah. Kalau kita meridhakan semua perkara yang terjadi pada diri kita, maka kita akan tidak memusuhi sesiapa dalam pergaulan harian . Ridha membuat kita hidup dalam ketenangan dan keamanan.
Ridha dalam kehidupan
ditempuni harapan.
Ridha adalah sebuah pohon yang baik
yang di siram dengan keikhlasan
di tanam di kebun tauhid
dibaja dengan kesyukuran
akar dan dahan adalah amalan soleh
buahnya semanis pahala

Ridha membuka pintu keselamatan
hati jauh dari tipu daya
mengkikis keraguan
membendung keamanan sejati